Carian

Kelas Iqra membentuk jatidiri mulia






Oleh ROZZALIN HASHIM

KEMAJUAN teknologi maklumat atau lebih dikenali sebagai ' IT ' tidak dapat dinafikan dan semua pihak kini khususnya golongan ibu bapa amat menitikberatkan pembangunan insan dan pembinaan generasi selari dengan kepesatan kemajuan negara.

Ini kerana, jika ibu bapa lalai dalam memberi didikan adalah dikhuatiri anak-anak bukan sahaja ketinggalan dari segala segi malah mereka boleh terjerumus ke kancah tidak sihat sekali gus membawa kerugian kepada bangsa, agama dan negara.

Memberi pendidikan kepada anak-anak memang sangat penting tatkala pihak kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit seperti menyediakan pelbagai program pendidikan sama ada berbentuk rohani dan jasmani sehingga kepada penyediaan lebih banyak sekolah-sekolah, kolej mahu pun institusi pengajian tinggi.

Kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama malah mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang.

Di Kampung Bokara, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan anak-anaknya seawal usia lima tahun lagi dididik dan diberikan pendidikan agama menerusi satu kelas Iqra yang dikelolakan oleh Biro Pendidikan dan Dakwah, Masjid Nurussholihin di kampung tersebut.

Kelas Iqra yang baru dibuka ini mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 100 kanak-kanak mendaftarkan diri sebagai murid dan sudah pun mula mengikuti kelas dibawah bimbingan tenaga pengajar oleh Nuranis Mohd Saad dibantu Hj Suhaimi Kalibar dan Mohd Hj Kastom.

" Kami berharap agar kelas Iqra yang kami buat dibawah Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Nurussholihin ini dapatlah kiranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM menyerapkan kelas tersebut kepada tahap Kelas Al - Quran dan Fardhu Ain atau lebih dikenali sebagai kelas KAFA, " katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Hj Suhaimi yang juga Setiausaha Biro Pendidikan dan Dakwah menegaskan perlunya kelas tersebut diserapkan kepada tahap kelas KAFA agar tiga tenaga pengajar sedia ada juga diserap dan dibawah tadbir urus pihak JAKIM.

Ini katanya, biasanya aktiviti secara sukarela tidak akan bertahan lama kerana diatas sebab banyak faktor antaranya ketiadaan keperluan seperti peralatan alat tulis, bangku dan meja di dalam kelas.

" Sebab itu, kami berusaha untuk mendapatkan perhatian daripada pihak berkenaan agar dapat kiranya menyerapkan kelas Iqra ini kepada tahap kelas KAFA bagi kebaikan bersama, " ujar beliau sambil berharap kelas Iqra yang mereka laksanakan mendapat perhatian sewajarnya Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sini.

Lantaran itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas sokongan dan nasihat daripada Pengerusi Masjid Nurussholihin iaitu Haji Zainal Rajan dan Imam Haji Ibrahim Amir Hussin dalam usaha mewujudkan kelas tersebut.

Beliau turut memuji ibu bapa di Kampung Bokara kerana amat menitikberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak sehingga sanggup menghantar mereka untuk mengikuti kelas tersebut.

Katanya, meski pun anak-anak bersekolah pada waktu siang tetapi bukanlah alasan untuk ibu bapa menghantar anak-anak kerana nyata sekali pentingnya kelas tersebut untuk mendapatkan ilmu pengetahuan apatah lagi ia melibatkan pendidikan ajaran Islam.

" Kelas Iqra diadakan setiap malam selama lima hari iaitu selepas solat Maghrib ... setiap malam ada pengisiannya supaya para pelajar mendapat manfaat yang sewajarnya, " tambah beliau.

Beliau berkata, mereka selaku tenaga pengajar akan berusaha menyediakan pelbagai bentuk pengisian supaya pelajar-pelajar memperolehi ilmu agama yang berguna selari matlamat kerajaan yang mahukan generasi yang berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan terutama dalam bidang agama Islam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Kelas Iqra membentuk jatidiri mulia"

Post a Comment