Carian

Kelas Iqra membentuk jatidiri mulia






Oleh ROZZALIN HASHIM

KEMAJUAN teknologi maklumat atau lebih dikenali sebagai ' IT ' tidak dapat dinafikan dan semua pihak kini khususnya golongan ibu bapa amat menitikberatkan pembangunan insan dan pembinaan generasi selari dengan kepesatan kemajuan negara.

Ini kerana, jika ibu bapa lalai dalam memberi didikan adalah dikhuatiri anak-anak bukan sahaja ketinggalan dari segala segi malah mereka boleh terjerumus ke kancah tidak sihat sekali gus membawa kerugian kepada bangsa, agama dan negara.

Memberi pendidikan kepada anak-anak memang sangat penting tatkala pihak kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit seperti menyediakan pelbagai program pendidikan sama ada berbentuk rohani dan jasmani sehingga kepada penyediaan lebih banyak sekolah-sekolah, kolej mahu pun institusi pengajian tinggi.

Kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama malah mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang.

Di Kampung Bokara, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan anak-anaknya seawal usia lima tahun lagi dididik dan diberikan pendidikan agama menerusi satu kelas Iqra yang dikelolakan oleh Biro Pendidikan dan Dakwah, Masjid Nurussholihin di kampung tersebut.

Kelas Iqra yang baru dibuka ini mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 100 kanak-kanak mendaftarkan diri sebagai murid dan sudah pun mula mengikuti kelas dibawah bimbingan tenaga pengajar oleh Nuranis Mohd Saad dibantu Hj Suhaimi Kalibar dan Mohd Hj Kastom.

" Kami berharap agar kelas Iqra yang kami buat dibawah Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Nurussholihin ini dapatlah kiranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM menyerapkan kelas tersebut kepada tahap Kelas Al - Quran dan Fardhu Ain atau lebih dikenali sebagai kelas KAFA, " katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Hj Suhaimi yang juga Setiausaha Biro Pendidikan dan Dakwah menegaskan perlunya kelas tersebut diserapkan kepada tahap kelas KAFA agar tiga tenaga pengajar sedia ada juga diserap dan dibawah tadbir urus pihak JAKIM.

Ini katanya, biasanya aktiviti secara sukarela tidak akan bertahan lama kerana diatas sebab banyak faktor antaranya ketiadaan keperluan seperti peralatan alat tulis, bangku dan meja di dalam kelas.

" Sebab itu, kami berusaha untuk mendapatkan perhatian daripada pihak berkenaan agar dapat kiranya menyerapkan kelas Iqra ini kepada tahap kelas KAFA bagi kebaikan bersama, " ujar beliau sambil berharap kelas Iqra yang mereka laksanakan mendapat perhatian sewajarnya Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sini.

Lantaran itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas sokongan dan nasihat daripada Pengerusi Masjid Nurussholihin iaitu Haji Zainal Rajan dan Imam Haji Ibrahim Amir Hussin dalam usaha mewujudkan kelas tersebut.

Beliau turut memuji ibu bapa di Kampung Bokara kerana amat menitikberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak sehingga sanggup menghantar mereka untuk mengikuti kelas tersebut.

Katanya, meski pun anak-anak bersekolah pada waktu siang tetapi bukanlah alasan untuk ibu bapa menghantar anak-anak kerana nyata sekali pentingnya kelas tersebut untuk mendapatkan ilmu pengetahuan apatah lagi ia melibatkan pendidikan ajaran Islam.

" Kelas Iqra diadakan setiap malam selama lima hari iaitu selepas solat Maghrib ... setiap malam ada pengisiannya supaya para pelajar mendapat manfaat yang sewajarnya, " tambah beliau.

Beliau berkata, mereka selaku tenaga pengajar akan berusaha menyediakan pelbagai bentuk pengisian supaya pelajar-pelajar memperolehi ilmu agama yang berguna selari matlamat kerajaan yang mahukan generasi yang berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan terutama dalam bidang agama Islam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Sambutan Maulidur Rasul meriah di Kampung Bokara











Oleh ROZZALIN HASHIM

KAMPUNG Bokara, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan bukan sahaja dikenali sebagai salah sebuah perkampungan paling terawal di bandar ini bahkan turut terkenal amat mementingkan adat resam dan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Menjelang sambutan Maulidur Rasul pada setiap tahun maka di situlah masyarakat umum akan dapat menilai penduduk Bokara yang kebanyakannya berbangsa Bajau Simunul itu masih meneruskan adat bergunting rambut untuk bayi baru lahir.

Seawal usia 1 bulan, bayi yang lengkap berpakaian cantik dan bagi bayi lelaki dipakaikan pakaian seperti ' Pahlawan ' akan diarak oleh anggota keluarga sambil diiringi paluan kompang berserikan bunga manggar menuju ke Masjid Nurussholihin.

Setibanya di Masjid Nurussholihin, rambut bayi akan digunting oleh Imam Haji Ibrahim Amir Hussin dengan alunan lagu-lagu Marhaban dan Berzanji dinyanyikan sekumpulan jemaah masjid.

Lantaran itu, Bokara muncul sebuah perkampungan paling unik kerana sambutan Maulidur Rasul yang diadakan begitu berbeza seperti kampung-kampung lain, di Bokara setiap penduduk khususnya yang berkemampuan akan menjemput kanak-kanak untuk datang ke rumah menghadiri majlis bergunting rambut sebagai pelengkap untuk mengiringi bayi yang diarak ke Masjid Nurussholihin.

Menariknya, sebahagian besar penduduk Bokara mengadakan majlis seumpamanya sebagai mewarisi amalan yang sudah pun sebati setiap kali tibanya hari memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Penulis yang menjalankan liputan khas sempena perayaan Maulidur Rasul di Bokara pada Jumaat lepas mendapati sambutannya sungguh meriah apabila alunan lagu-lagu Marhaban dan Berzanji sebagai tanda pujian kepada Nabi Muhammad S.A.W berkumandang seawal jam 1.30 tengahari.

Diketuai Penolong Setiausaha Masjid Nurussholihin, Abdul Kadir Haji Jamadil, mereka akan mengalunkan lagu-lagu Marhaban dan Berzanji secara beramai-ramai sementara Haji Ibrahim dan pembantunya akan menggunting jambul bayi yang datang bergilir-gilir selepas diarak dari rumah.

Bermacam-macamlah buah tangan antaranya kek, kuih muih, buah-buahan sehingga kepada wang tunai yang dihias cantik diberikan kepada pihak masjid sebagai tanda penghargaan daripada anggota keluarga yang membawa bayi mereka.

Paling meriah sekali golongan kanak-kanak yang ditemani ibu bapa, terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila mengarak bayi dengan berpakaian baju Melayu sambil membawa bunga manggar dan buah tangan tidak kurang juga hebatnya golongan remaja lengkap berpakaian cantik.

Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung sambutan Maulidur Rasul di Bokara, beberapa penduduk Bokara telah ditemubual.

" Sebenarnya, budaya setiap kali menjelangnya sambutan Maulidur Rasul di Kampung Bokara sudah pun diamalkan sejak sekian lama dan sehinggalah sekarang ia terus dipertahankan kerana masyarakat Bokara amat mementingkan adat resam dan budayanya, " kata Haji Ibrahim, 70-an, semasa ditemui.

Beliau difahamkan tradisi menggunting rambut bayi dan diarak ke masjid dibawa dari Johor kemudiannya berkembang ke Sabah.

Katanya, ramai pendakwah Islam yang datang ke Sandakan menyebarkan ajaran Islam secara meluas termasuk memperkenalkan acara menggunting rambut bayi setiap kali menjelang sambutan Maulud.

" Sebab itu, sehinggalah sekarang penduduk Kampung Bokara masih mempertahankan budaya tersebut kerana ia sudah pun diamalkan sejak sekian lamanya, " jelasnya.

Haji Ibrahim yang merupakan Imam Masjid Nurussholihin berharap pada generasi akan datang mempertahankan budaya tersebut agar tidak lapuk ditelan dek zaman.

Menurut beliau, paling menarik apabila semua warga Bokara berhimpun pada sambutan Maulidur Rasul sakali gus menunjukkan bahawa betapa kukuhnya hubungan perpaduan di kalangan mereka.

Ketua Kampung
Ini kata beliau, banyak kebaikannya salah satu menunjukkan betapa penduduk setempat sentiasa bersatu padu di mana mereka dapat berkumpul pada hari Maulidur Rasul sambil membawa bayi masing-masing.

" Tengoklah pada hari ini, semua orang kampung berkumpul di masjid untuk menyaksikan majlis bergunting rambut dan kanak-kanak pula nyata gembira selepas berarak dari rumah ... saya berharap budaya ini dapat diteruskan kerana ia membawa banyak kebaikan dari segi permuafakatan penduduk setempat, " tambahnya.

Pengerusi Masjid Nurussholihin, Haji Zainal Rajan pula berharap budaya mengarak bayi ke masjid untuk bergunting rambut hendaklah dipertahankan memandangkan ia sudah menjadi budaya berterusan di kampung tersebut.

Ini katanya, penduduk Bokara amat mementingkan adat dan budaya pada masa sama ia telah pun diamalkan sejak sekian lamanya.

" Ini menunjukkan kita bersatu padu dan sentiasa bekerjasama sambil menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, " katanya.
Bokara, Haji Eram Lattoh, mengajak warga Bokara agar berbangga kerana budaya yang diwarisi ini masih diamalkan sehingga hari ini.

Justeru, beliau mahu budaya ini dipertahankan demi generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bokara, Yasser Rashdan Haji Hamdan memberitahu sesungguhnya Bokara sangat unik kerana
sambutan Maulud berbeza dengan kampung-kampung lain.

Ini kerana katanya, warga Bokara terutamanya golongan kanak-kanak akan mengiringi bayi bersama-sama anggota keluarga sambil diiringi paluan kompang dan bunga manggar.

" Bayi akan dihias dengan pakaian yang cantik dan diarak menuju ke masjid. Budaya tersebut adalah salah satu adat yang masih diamalkan para warga Bokara. Ini adalah satu adat resam serta budaya yang mampu mengeratkan silaturrahim di kalangan penduduk setempat, " ujarnya.

Bagi Jaafar Hj Abu Bakar pula berharap agar budaya berkenaan dipertahankan kerana ia sudah pun diamalkan sejak sekian lamanya di kampung ini.

" Bayangkan, pada tahun 1970-an ketika kami masih remaja lagi acara mengarak bayi ke masjid untuk digunting rambut sangat meriah ... betapa eratnya hubungan orang kampung jelas terpancar setiap kali sambutan Maulud diadakan, " katanya.

Katanya, sehingga hari ini masih menjadi budaya berterusan sekali gus menunjukkan warga Bokara amat mementingkan warisan dan adat budaya daripada ajaran Islam sebenarnya.

Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Sandakan, Hajah Putram Haji Syed Ismail, berkata beliau berbangga sehingga hari ini budaya mengarak bayi ke masjid menjadi budaya berterusan di kampung tersebut.

Ini menunjukkan betapa warga Bokara menitikberatkan budaya yang telah diwarisi sejak sekian lamanya, kata Hajah Putram.

" Kita berharap budaya berterusan ini dipertahankan demi manfaat generasi akan datang, " katanya lagi.

Jaliha Hj Salleh juga sependapat dengan Hajah Putram supaya budaya yang menjadi amalan warga Bokara itu dipertahankan sampai bila-bila.

Katanya, ini menunjukkan betapa eratnya hubungan orang kampung setiap kali tibanya sambutan Maulidur Rasul di mana anggota keluarga akan berhimpun di masjid sambil membawa anak-anak untuk bergunting rambut.

Bagi Haji Rizki Haji Aliong pula menjelaskan sambutan Maulidur Rasul di Bokara seperti isi dan kuku tidak dapat dipisahkan ditambah lagi dengan alunan marhaban dan berzanji sebagai satu tanda penduduk kampung begitu membesarkan Rasulullah S.A.W.

Beliau berkata, adat dan budaya ini perlu dipertahankan selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak dan generasi muda di Bokara perlu bersedia untuk menjadi pelapis dalam pelaksanaan sambutan Maulidur Rasul agar budaya itu berterusan serta tidak di telan oleh zaman.

Hardee Ali memberitahu pegangan kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah S.A.W sentiasa tersemat di dalam hati maka sebab itulah tradisi Marhaban dan acara bergunting rambut Bokara semasa sambutan Maulidur Rasul tetap diteruskan sehingga kini.

" Kampung kami sungguh unik sekali bila tibanya perayaan Maulidur Rasul pada setiap tahun. Ini adalah tradisi sebagai menyambut kelahiran Nabi Muhammad yang sudah diamalkan, " ujanrnya.

Katanya, paling menarik kanak-kanak yang menyambutnya ternyata riang gembira bila berarak mengiringi bayi sambil membawa bunga manggar diiringi paluan kompang.

Ray Ibrahim Hj Othman berharap tradisi yang menjadi budaya berterusan kepada warga Bokara dapat dipertahankan.

Katanya, mungkin Bokara satu-satunya perkampungan masih mengamalkan budaya tersebut kerana setiap anggota keluarga akan menjemput kanak-kanak untuk datang ke rumah untuk tujuan mengarak bayi bergunting rambut di masjid.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Album





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Hubungi

Assalammualaikum wrth

Untuk sebarang maklumat dan cadangan berkaitan blog, sila hubungi saudara Rozzalin Hashim di talian 0198535495

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

kiriman

Assalammualaikum wrth

Salam Hormat kepada penduduk Kg Bokara yang dikasihi sekalian.

Syukur ke hadirat Ilahi kerana blog Kg Bokara sudah berjaya disiarkan kepada umum. Ini adalah inisiatif penduduk kampung untuk memberitahu kepada masyarakat luar yang ingin mendalami atau mengkaji serba serbi sejarah kampung mahupun adat resam yang sudah lama menjadi amalan penduduknya.

Untuk itu, penerbit blog mengalu-alukan kiriman cerita, ataupun artikel berkaitan Kg Bokara untuk menjadi informasi bersama. Inilah peluang kepada penduduk Kg Bokara untuk berkongsi pendapat dan cerita masing-masing. Diharap dengan adanya blog ini, semua pihak dapat mengambil peluang berkongsi pengalaman dan pendapat yang selama ini terpendam.

Untuk sebarang kiriman, sila hantar ke email penerbit blog ini, rozzalinhashim@yahoo.com.my

Sekian dan Wassalam

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Bokara Kampung HalamanKu...















Penulis Tamu:

ROZZALIN HASHIM

KAMPUNG Bokara, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan memang unik sekali kerana seorang penulis pernah menghuni di perkampungan itu semata-mata untuk menerbitkan sebuah buku yang menceritakan kehidupan harian masyarakat suku kaum Bajau Simunul.

Setelah 30 tahun berlalu, nama Supriya Singh seolah-olah dilupakan tetapi pada awal tahun 2009 ingatan penduduk Bokara kembali segar semula apabila tiga orang pelancong asing secara tiba-tiba berkunjung ke perkampungan itu gara-gara buku On the Sulu Sea ' An Indian Woman Lives in a Borneo village ' yang ditulis oleh Supriya.

Salah seorang daripada pelancong itu, Mary dari Amerika Syarikat adalah rakan kepada Supriya mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Bokara bagi mengenali secara lebih dekat tentang keadaan sebenar seperti mana diceritakan dalam buku tersebut.

Mary ditemani rakannya merupakan pasangan suami isteri Tom dan Fran Sager dari Australia sebaik sahaja tiba di Bokara, mereka mencari nama Haji Malcom rajan dan Hajjah Aminah Sari @ Sai bin Mulong.

Penulis difahamkan bahawa Supriya telah memberikan buku berkenaan kepada Mary kira-kira 20 tahun yang lepas sebagai tanda saguhatinya dan pada 2008, Mary telah berjumpa dengan Supriya di Australia di mana Mary memaklumkan Supriya mengenai niatnya mahu melancong ke Sabah.

Supriya ada berpesan, jika Mary hendak melancong ke Sabah maka pergilah ke Sandakan untuk melihat sendiri perkampungan yang diceritakannya dalam buku penuh nostalgia itu.

Bagi Mary, Tom dan Fran untuk berkunjung ke Bokara maka mereka perlulah mencari nama Malcom (Hj Malcom) dan Sai (Hajjah Aminah @ Sai) yang pernah membenarkan Supriya untuk tinggal di rumah mereka selama beberapa bulan sekitar tahun 1978.

Sebaik tiba, Mary dan rakannya itu disambut begitu gembira oleh Haji Malcom dan isterinya kerana kunjungan tentunya mengembalikan ingatan mereka kepada Supriya setelah sekian lamanya tiada khabar berita.

Mereka bertiga terkejut melihat perubahan pantas yang berlaku di kampung tersebut, tidak seperti yang diceritakan dalam buku berkenaan dan bagi mereka ia jauh lebih moden sambil kagum dengan pencapaian penduduk setempat dalam pelbagai bidang.

Mereka bertiga turut dijemput bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bokara, Haji Hamdan Haji Dikong dan semasa berada di rumah Haji Hamdan, mereka berbual panjang mengenai perkembangan terkini di kampung itu termasuk menceritakan buku yang membantu menaikkan nama Bokara.

Anak Haji Hamdan, Ratni Dewi @ Bobby yang merupakan seorang peguam juga menceritakan mengenai kehidupan masyarakat Bajau Simunul di situ sambil menunjukkan tarian ' Daling-Daling ' lengkap dengan berpakaian tradisi masyarakat kaum tersebut.

Sebenarnya, buku On the Sulu Sea meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat di Kampung Bokara salah sebuah perkampungan paling terawal di bandar Sandakan.

Ini kerana, buku hasil tulisan Supriya berbentuk tesis ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja di kalangan pembaca tempatan malahan pembaca dari merata negara yang tertarik dengan buku banyak menceritakan mengenai kehidupan harian masyarakat Simunul dari segi adat dan budayanya.

Buktinya, setelah 30 tahun berlalu buku berkenaan benar-benar meninggalkan kesan kerana bayangkan warga Amerika Syarikat dan warga Australia sanggup datang ke Bokara semata-mata mahu melihat kampung ini secara lebih dekat lagi seperti mana diceritakan dalam buku tersebut.

Pujian perlu juga diberikan kepada Supriya diatas usahanya menulis buku tersebut biar pun sesetengah penduduk Bokara mengkritik kerana kononnya sebahagian kecil tulisannya menyentuh sensitiviti seseorang tetapi setidak-tidaknya memperkenalkan kampung di mata dunia.

Mungkin, mereka yang telah membaca buku ini tidak mengambil kisah akan apa yang diceritakan kerana semua sedia maklum suasananya masih belum moden lagi.

Memungkinkan Supriya belum mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan harian penduduk setempat membuatkan beliau teruja untuk menulis cerita-cerita semasa sedangkan dia tidak tahu akan akibatnya di masa mendatang.

Pun begitu, penduduk setempat nampaknya bersikap terbuka kerana apa yang diceritakan Supriya adalah berdasarkan apa yang dia lihat tentang kehidupan harian orang kampung.

Paling menarik apabila Supriya menulis mengenai majlis-majlis perkahwinan dan acara kenduri daripada awal hingga akhir Supriya telah menceritakan mengenai persiapan tuan rumah sebelum bermulanya sesuatu majlis.

Untuk mendapatkan bahan, Supriya terpaksa pergi dari satu rumah ke satu rumah membolehkannya mendapat ramai kenalan sepanjang tempoh menetap di kampung tersebut.

Di situ, Supriya bukan sahaja mendapat ramai kenalan malah berpeluang melihat secara lebih dekat tentang kehidupan harian dan budaya di kampung tersebut.

Ini membantu beliau untuk menulis lebih banyak cerita-cerita menarik seperti sesuatu majlis sehinggalah kepada kegiatan berpersatuan, politik dan sebagainya.

Buku yang ditulis Supriya berbetuk tesis dan untuk mendapatkan cerita-cerita semasa di perkampungan itu, dia terpaksa menetap di rumah Haji Malcom.

Difahamkan, dia membayar sewa bulanan kepada Haji Malcom sebanyak RM80 sebulan untuk menyewa sebuah bilik dan sepanjang menghuni di situ dia dan suaminya iaitu Dr.Bhar juga turut membuka sebuah klinik.

Klinik kepunyaan suaminya yang terletak di belakang kedai runcit Haji Malcom telah dibuka beberapa bulan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang kampung ketika itu.

Penulis sempat menemui Haji Malcom dan isterinya Hajjah Aminah @ Sai di Kampung Bokara baru-baru ini untuk mengetahui macam mana Supriya boleh menetap di rumah mereka.

" Begini ceritanya, Supriya Singh selalu datang ke Bokara kerana tertarik dengan adat dan budaya orang kampung ketika itu ... lalu, seorang rakan telah memberitahunya bahawa kalau mahu menyewa rumah bolehlah bertanya kepada Malcom, kononnya rumah kami besar dan tiada orang, " kata Haji Malcom, 71, semasa ditemui di rumah mereka.

Serentak itu, katanya, Supriya pun berjumpa dengan mereka untuk memaklumkan tentang niatnya mahu menyewa sebuah bilik untuk beberapa bulan sahaja.

Kata Haji Malcom, setelah mengetahui niat Supriya mahu menyewa sebuah bilik, mereka sekeluarga pun bersetuju dan dia segera membuatkan bilik kosong untuk membolehkan penulis tersebut tinggal di situ.

" Supriya pun tinggal di rumah kami dan mula membuat tesis untuk buku yang diterbitkannya iaitu On the Sulu Sea " , tambah beliau.

Bagi Haji Malcom, mereka sekeluarga menganggap Supriya sebagai saudara sendiri di mana dia, isterinya dan anak-anaknya iaitu Tony, Wira (Arwah) dan Suraya serta seorang lagi iparnya Kitok Mulong makan bersama-sama penulis berkenaan hampir setiap hari.

Hajjah Aminah @ Sai, 66, pula menyifatkan Supriya sebagai seorang penulis yang sangat mesra dan baik hati kerana sepanjang menetap di rumah mereka dia dikatakan mengambil berat tatasusila orang kampung.

Beliau memberitahu kerana kemesraan dan keramahannya itu membolehkan Supriya dapat mengenali lebih dekat tentang adat dan budaya Bokara sampaikan dia sendiri boleh bercakap Simunul.

" Pandai juga dia cakap Simunul sikit-sikit sebab dia banyak bertanya kalau ada perbualan kami yang dia tidak faham, " katanya.

Ditanya pada waktu bila dia menulis tesis itu, Hajjah Aminah @ Sai memberitahu bahawa Supriya menulis pada waktu malam.

Jelasnya, pada waktu siang Supriya pergi mendapatkan bahan dengan berkunjung ke setiap rumah dan balik semua ke rumah mereka pada sebelah petang.

Menurutnya, Supriya mempunyai ramai kenalan sepanjang berada di Kampung Bokara kerana kemesraannya membolehkan penulis berkenaan berinteraksi dengan baik bersama orang kampung.

" Pada tahun 1998, Supriya ada berkunjung sekali ke rumah kami tetapi kami ketika itu sedang berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah Haji.

" Bayangkan, ingatan Supriya kepada kami sehingga dia sanggup menghubungi kami di Mekah menerusi telefon untuk bertanyakan khabar kami di sana.

" Mujurlah, mereka yang berada di rumah ketika itu membawa Supriya ke rumah anak saya iaitu Tony kerana rumah asal telah terbakar selepas berlaku satu kebakaran di Kampung Bokara pada tahun 1997, " kata Hajjah Aminah @ Sai.

Sambil mengimbau kenangan lama, dia masih teringat dua anak Supriya yang selalu di bawa Supriya ke rumah mereka dan bersamanya di bilik tersebut untuk beberapa ketika kerana mereka pun mempunyai rumah di bandar Sandakan.

Suraya pula menyifatkan penulis tersebut begitu baik kepadanya kerana pernah suatu masa, Supriya pernah memberi RM50 kepadanya untuk belanja rumah.

Kitok pula menyifatkan Supriya sebagai seorang yang mudah mesra dan peramah kepada sesiapa pun.

" Sayang kadangkala membantu membasuh pakaiannya tetapi tidak mahu mengambil upah yang Supriya berikan kerana kami anggap dia macam saudara sendiri, " ujarnya.

Bekas Ketua Kampung Bokara, Haji Syed Ismail Haji Syed Omar Ali ketika ditemui pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada Supriya diatas penerbitan buku tersebut.

Katanya, buku tersebut membolehkan Bokara dikenali di merata negara hasil tulisannya yang banyak menceritakan mengenai ada dan budaya penduduk setempat.

Guru Agama, Haji Syed Kasim Haji Syed Omar Ali juga mengucapkan terima kasih kepada Supriya diatas inisiatifnya menerbitkan buku itu.

Beliau berkata, salah satu kebaikan buku itu adalah kampung telah dikenali membolehkan ramai pelancong mahu mengenali secara lebih dekat lagi seperti mana diceritakan dalam buku On the Sulu Sea.

Bekas Pengerusi JKKK Kg Bokara, Haji Bakri Haji Mustaib pula berkata buku On the Sulu Sea tentunya memberi kesan mendalam kepada penduduk setempat.

Ini kerana, katanya, isi kandungan yang terdapat dalam buku berkenaan menyentuh pelbagai kisah dan ragam orang kampung.

" Begitu pun, kita berterima kasih kepada Supriya diatas usaha ini ... tetapi perlu diingat bahawa penduduk Bokara saling tolong-menolong dan bersatu padu meski pun ada sedikit pergeseran seperti diceritakan dalam buku yang penuh nostalgia ini, " kata beliau.

Haji Hamdan, 56, juga mengucapkan terima kasih kepada penulis tersebut.

Kata beliau, sememangnya buku yang diterbitkan Supriya meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk setempat sampai bila-bila.

" Ketika Supriya menulis buku ini suasana Kampung Bokara masih belum moden maklumlah pada tahun 1970-an ... tetapi kita mengalu-alukan kepada beliau atau sesiapa pun penulis boleh membuat buku berkenaan kampung ini bukan sahaja dari segi aspek adat dan budaya tetapi banyak juga perubahan yang berlaku terutamanya dalam soal pembangunan dan pendidikan, " kata Haji Hamdan yang juga Setiausaha Umno Bahagian Sandakan ini.

Seorang lagi warga Bokara, Hajah Sapiah Haji Syed Omar Ali berkata Supriya seorang penulis yang peramah kepada orang kampung.

Katanya, keramahan Supriya terserlah apabila dia berkunjung dari rumah ke rumah untuk mendapatkan bahan-bahan cerita untuk tesis buku yang diterbitkannya itu.

" Saya berkawan dengan Supriya dan menunjukkan mengenai adat dan budaya orang kampung terutama dalam soal majlis kenduri dan kahwin ... Supriya amat tertarik. Pernah sekali, saya menjemput Supriya untuk datang ke rumah saya untuk menghadiri majlis Khatam Al-Quran anak saya Sitti Kurmah Hj Mohd Hashim, " beritahunya.

Hajah Sapiah, 66, memberitahu dalam majlis Supriya telah dapat menyaksikan mengenai adat dan budaya masyarakat Simunul di samping berkenalan dengan tetamu yang datang.

Supriya adalah penulis terkenal tahun 1970-an dan 1980-an.

Dia juga merupakan bekas wartawan di sebuah akhbar kebangsaan sekitar tahun-tahun 1970-an.

Difahamkan bahawa sebaik sahaja menerbitkan buku On the Sulu Sea ini, dia kemudiannya berhijrah ke Australia pada tahun 1980-an dan telah mengikuti Kursus Lanjutan Ijazah Kedoktoran di salah sebuah universiti di negara Kangaroo itu.

Buku On the Sulu Sea memang begitu nostalgia kepada orang Bokara kerana isi kandungannya yang menceritakan mengenai kehidupan harian masyarakat Bajau Simunul yang sampai bila-bila terus diingati penduduk di situ.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS