Carian

Bokara Kampung HalamanKu...















Penulis Tamu:

ROZZALIN HASHIM

KAMPUNG Bokara, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Sandakan memang unik sekali kerana seorang penulis pernah menghuni di perkampungan itu semata-mata untuk menerbitkan sebuah buku yang menceritakan kehidupan harian masyarakat suku kaum Bajau Simunul.

Setelah 30 tahun berlalu, nama Supriya Singh seolah-olah dilupakan tetapi pada awal tahun 2009 ingatan penduduk Bokara kembali segar semula apabila tiga orang pelancong asing secara tiba-tiba berkunjung ke perkampungan itu gara-gara buku On the Sulu Sea ' An Indian Woman Lives in a Borneo village ' yang ditulis oleh Supriya.

Salah seorang daripada pelancong itu, Mary dari Amerika Syarikat adalah rakan kepada Supriya mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Bokara bagi mengenali secara lebih dekat tentang keadaan sebenar seperti mana diceritakan dalam buku tersebut.

Mary ditemani rakannya merupakan pasangan suami isteri Tom dan Fran Sager dari Australia sebaik sahaja tiba di Bokara, mereka mencari nama Haji Malcom rajan dan Hajjah Aminah Sari @ Sai bin Mulong.

Penulis difahamkan bahawa Supriya telah memberikan buku berkenaan kepada Mary kira-kira 20 tahun yang lepas sebagai tanda saguhatinya dan pada 2008, Mary telah berjumpa dengan Supriya di Australia di mana Mary memaklumkan Supriya mengenai niatnya mahu melancong ke Sabah.

Supriya ada berpesan, jika Mary hendak melancong ke Sabah maka pergilah ke Sandakan untuk melihat sendiri perkampungan yang diceritakannya dalam buku penuh nostalgia itu.

Bagi Mary, Tom dan Fran untuk berkunjung ke Bokara maka mereka perlulah mencari nama Malcom (Hj Malcom) dan Sai (Hajjah Aminah @ Sai) yang pernah membenarkan Supriya untuk tinggal di rumah mereka selama beberapa bulan sekitar tahun 1978.

Sebaik tiba, Mary dan rakannya itu disambut begitu gembira oleh Haji Malcom dan isterinya kerana kunjungan tentunya mengembalikan ingatan mereka kepada Supriya setelah sekian lamanya tiada khabar berita.

Mereka bertiga terkejut melihat perubahan pantas yang berlaku di kampung tersebut, tidak seperti yang diceritakan dalam buku berkenaan dan bagi mereka ia jauh lebih moden sambil kagum dengan pencapaian penduduk setempat dalam pelbagai bidang.

Mereka bertiga turut dijemput bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bokara, Haji Hamdan Haji Dikong dan semasa berada di rumah Haji Hamdan, mereka berbual panjang mengenai perkembangan terkini di kampung itu termasuk menceritakan buku yang membantu menaikkan nama Bokara.

Anak Haji Hamdan, Ratni Dewi @ Bobby yang merupakan seorang peguam juga menceritakan mengenai kehidupan masyarakat Bajau Simunul di situ sambil menunjukkan tarian ' Daling-Daling ' lengkap dengan berpakaian tradisi masyarakat kaum tersebut.

Sebenarnya, buku On the Sulu Sea meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat di Kampung Bokara salah sebuah perkampungan paling terawal di bandar Sandakan.

Ini kerana, buku hasil tulisan Supriya berbentuk tesis ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja di kalangan pembaca tempatan malahan pembaca dari merata negara yang tertarik dengan buku banyak menceritakan mengenai kehidupan harian masyarakat Simunul dari segi adat dan budayanya.

Buktinya, setelah 30 tahun berlalu buku berkenaan benar-benar meninggalkan kesan kerana bayangkan warga Amerika Syarikat dan warga Australia sanggup datang ke Bokara semata-mata mahu melihat kampung ini secara lebih dekat lagi seperti mana diceritakan dalam buku tersebut.

Pujian perlu juga diberikan kepada Supriya diatas usahanya menulis buku tersebut biar pun sesetengah penduduk Bokara mengkritik kerana kononnya sebahagian kecil tulisannya menyentuh sensitiviti seseorang tetapi setidak-tidaknya memperkenalkan kampung di mata dunia.

Mungkin, mereka yang telah membaca buku ini tidak mengambil kisah akan apa yang diceritakan kerana semua sedia maklum suasananya masih belum moden lagi.

Memungkinkan Supriya belum mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan harian penduduk setempat membuatkan beliau teruja untuk menulis cerita-cerita semasa sedangkan dia tidak tahu akan akibatnya di masa mendatang.

Pun begitu, penduduk setempat nampaknya bersikap terbuka kerana apa yang diceritakan Supriya adalah berdasarkan apa yang dia lihat tentang kehidupan harian orang kampung.

Paling menarik apabila Supriya menulis mengenai majlis-majlis perkahwinan dan acara kenduri daripada awal hingga akhir Supriya telah menceritakan mengenai persiapan tuan rumah sebelum bermulanya sesuatu majlis.

Untuk mendapatkan bahan, Supriya terpaksa pergi dari satu rumah ke satu rumah membolehkannya mendapat ramai kenalan sepanjang tempoh menetap di kampung tersebut.

Di situ, Supriya bukan sahaja mendapat ramai kenalan malah berpeluang melihat secara lebih dekat tentang kehidupan harian dan budaya di kampung tersebut.

Ini membantu beliau untuk menulis lebih banyak cerita-cerita menarik seperti sesuatu majlis sehinggalah kepada kegiatan berpersatuan, politik dan sebagainya.

Buku yang ditulis Supriya berbetuk tesis dan untuk mendapatkan cerita-cerita semasa di perkampungan itu, dia terpaksa menetap di rumah Haji Malcom.

Difahamkan, dia membayar sewa bulanan kepada Haji Malcom sebanyak RM80 sebulan untuk menyewa sebuah bilik dan sepanjang menghuni di situ dia dan suaminya iaitu Dr.Bhar juga turut membuka sebuah klinik.

Klinik kepunyaan suaminya yang terletak di belakang kedai runcit Haji Malcom telah dibuka beberapa bulan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang kampung ketika itu.

Penulis sempat menemui Haji Malcom dan isterinya Hajjah Aminah @ Sai di Kampung Bokara baru-baru ini untuk mengetahui macam mana Supriya boleh menetap di rumah mereka.

" Begini ceritanya, Supriya Singh selalu datang ke Bokara kerana tertarik dengan adat dan budaya orang kampung ketika itu ... lalu, seorang rakan telah memberitahunya bahawa kalau mahu menyewa rumah bolehlah bertanya kepada Malcom, kononnya rumah kami besar dan tiada orang, " kata Haji Malcom, 71, semasa ditemui di rumah mereka.

Serentak itu, katanya, Supriya pun berjumpa dengan mereka untuk memaklumkan tentang niatnya mahu menyewa sebuah bilik untuk beberapa bulan sahaja.

Kata Haji Malcom, setelah mengetahui niat Supriya mahu menyewa sebuah bilik, mereka sekeluarga pun bersetuju dan dia segera membuatkan bilik kosong untuk membolehkan penulis tersebut tinggal di situ.

" Supriya pun tinggal di rumah kami dan mula membuat tesis untuk buku yang diterbitkannya iaitu On the Sulu Sea " , tambah beliau.

Bagi Haji Malcom, mereka sekeluarga menganggap Supriya sebagai saudara sendiri di mana dia, isterinya dan anak-anaknya iaitu Tony, Wira (Arwah) dan Suraya serta seorang lagi iparnya Kitok Mulong makan bersama-sama penulis berkenaan hampir setiap hari.

Hajjah Aminah @ Sai, 66, pula menyifatkan Supriya sebagai seorang penulis yang sangat mesra dan baik hati kerana sepanjang menetap di rumah mereka dia dikatakan mengambil berat tatasusila orang kampung.

Beliau memberitahu kerana kemesraan dan keramahannya itu membolehkan Supriya dapat mengenali lebih dekat tentang adat dan budaya Bokara sampaikan dia sendiri boleh bercakap Simunul.

" Pandai juga dia cakap Simunul sikit-sikit sebab dia banyak bertanya kalau ada perbualan kami yang dia tidak faham, " katanya.

Ditanya pada waktu bila dia menulis tesis itu, Hajjah Aminah @ Sai memberitahu bahawa Supriya menulis pada waktu malam.

Jelasnya, pada waktu siang Supriya pergi mendapatkan bahan dengan berkunjung ke setiap rumah dan balik semua ke rumah mereka pada sebelah petang.

Menurutnya, Supriya mempunyai ramai kenalan sepanjang berada di Kampung Bokara kerana kemesraannya membolehkan penulis berkenaan berinteraksi dengan baik bersama orang kampung.

" Pada tahun 1998, Supriya ada berkunjung sekali ke rumah kami tetapi kami ketika itu sedang berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah Haji.

" Bayangkan, ingatan Supriya kepada kami sehingga dia sanggup menghubungi kami di Mekah menerusi telefon untuk bertanyakan khabar kami di sana.

" Mujurlah, mereka yang berada di rumah ketika itu membawa Supriya ke rumah anak saya iaitu Tony kerana rumah asal telah terbakar selepas berlaku satu kebakaran di Kampung Bokara pada tahun 1997, " kata Hajjah Aminah @ Sai.

Sambil mengimbau kenangan lama, dia masih teringat dua anak Supriya yang selalu di bawa Supriya ke rumah mereka dan bersamanya di bilik tersebut untuk beberapa ketika kerana mereka pun mempunyai rumah di bandar Sandakan.

Suraya pula menyifatkan penulis tersebut begitu baik kepadanya kerana pernah suatu masa, Supriya pernah memberi RM50 kepadanya untuk belanja rumah.

Kitok pula menyifatkan Supriya sebagai seorang yang mudah mesra dan peramah kepada sesiapa pun.

" Sayang kadangkala membantu membasuh pakaiannya tetapi tidak mahu mengambil upah yang Supriya berikan kerana kami anggap dia macam saudara sendiri, " ujarnya.

Bekas Ketua Kampung Bokara, Haji Syed Ismail Haji Syed Omar Ali ketika ditemui pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada Supriya diatas penerbitan buku tersebut.

Katanya, buku tersebut membolehkan Bokara dikenali di merata negara hasil tulisannya yang banyak menceritakan mengenai ada dan budaya penduduk setempat.

Guru Agama, Haji Syed Kasim Haji Syed Omar Ali juga mengucapkan terima kasih kepada Supriya diatas inisiatifnya menerbitkan buku itu.

Beliau berkata, salah satu kebaikan buku itu adalah kampung telah dikenali membolehkan ramai pelancong mahu mengenali secara lebih dekat lagi seperti mana diceritakan dalam buku On the Sulu Sea.

Bekas Pengerusi JKKK Kg Bokara, Haji Bakri Haji Mustaib pula berkata buku On the Sulu Sea tentunya memberi kesan mendalam kepada penduduk setempat.

Ini kerana, katanya, isi kandungan yang terdapat dalam buku berkenaan menyentuh pelbagai kisah dan ragam orang kampung.

" Begitu pun, kita berterima kasih kepada Supriya diatas usaha ini ... tetapi perlu diingat bahawa penduduk Bokara saling tolong-menolong dan bersatu padu meski pun ada sedikit pergeseran seperti diceritakan dalam buku yang penuh nostalgia ini, " kata beliau.

Haji Hamdan, 56, juga mengucapkan terima kasih kepada penulis tersebut.

Kata beliau, sememangnya buku yang diterbitkan Supriya meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk setempat sampai bila-bila.

" Ketika Supriya menulis buku ini suasana Kampung Bokara masih belum moden maklumlah pada tahun 1970-an ... tetapi kita mengalu-alukan kepada beliau atau sesiapa pun penulis boleh membuat buku berkenaan kampung ini bukan sahaja dari segi aspek adat dan budaya tetapi banyak juga perubahan yang berlaku terutamanya dalam soal pembangunan dan pendidikan, " kata Haji Hamdan yang juga Setiausaha Umno Bahagian Sandakan ini.

Seorang lagi warga Bokara, Hajah Sapiah Haji Syed Omar Ali berkata Supriya seorang penulis yang peramah kepada orang kampung.

Katanya, keramahan Supriya terserlah apabila dia berkunjung dari rumah ke rumah untuk mendapatkan bahan-bahan cerita untuk tesis buku yang diterbitkannya itu.

" Saya berkawan dengan Supriya dan menunjukkan mengenai adat dan budaya orang kampung terutama dalam soal majlis kenduri dan kahwin ... Supriya amat tertarik. Pernah sekali, saya menjemput Supriya untuk datang ke rumah saya untuk menghadiri majlis Khatam Al-Quran anak saya Sitti Kurmah Hj Mohd Hashim, " beritahunya.

Hajah Sapiah, 66, memberitahu dalam majlis Supriya telah dapat menyaksikan mengenai adat dan budaya masyarakat Simunul di samping berkenalan dengan tetamu yang datang.

Supriya adalah penulis terkenal tahun 1970-an dan 1980-an.

Dia juga merupakan bekas wartawan di sebuah akhbar kebangsaan sekitar tahun-tahun 1970-an.

Difahamkan bahawa sebaik sahaja menerbitkan buku On the Sulu Sea ini, dia kemudiannya berhijrah ke Australia pada tahun 1980-an dan telah mengikuti Kursus Lanjutan Ijazah Kedoktoran di salah sebuah universiti di negara Kangaroo itu.

Buku On the Sulu Sea memang begitu nostalgia kepada orang Bokara kerana isi kandungannya yang menceritakan mengenai kehidupan harian masyarakat Bajau Simunul yang sampai bila-bila terus diingati penduduk di situ.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

1 Response to "Bokara Kampung HalamanKu..."

  1. RienieZS says:
    February 2, 2010 at 4:57 PM

    satu coretan dan bahan yang menarik untuk dikongsi bersama.

Post a Comment